Isnin, 8 Julai 2013

Pameran Kepenggunaan anjuran FOMCA bertempat di Pusat membeli-belah One Utama, Bandar Utama


Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) akan mengadakan sambutan ulang tahun penubuhannya ke-40 pada tahun ini.

Bersempena dengan ulang tahun penubuhan FOMCA ke-40 pada tahun ini, salah satu program yang telah dirancang untuk diadakan ialah Pameran Kepenggunaan yang dijadualkan pada 15 Mei hingga 19 Mei 2013, bertempat di Old Wing Centre Court, One Utama Shopping Mall, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Orang ramai dijemput melawat ke Pameran Kepenggunaan anjuran FOMCA pada 15hb Mei sehingga 19hb Mei 2013 bertempat di Pusat membeli-belah One Utama, Bandar Utama. Pelbagai aktiviti dan bahan kepenggunaan menanti anda. Masa pameran adalah dari 10pagi sehingga 10 malam.

Objektif Pameran ini adalah untuk :
  • Meningkatkan kesedaran dan pendidikan pengguna tentang isu-isu pengguna
  • Menyedarkan pengguna tentang peranan pergerakan pengguna ke arah perlindungan dan kebajikan pengguna
  • Menyedari hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna yang bijak.
Adalah diharapkan melalui pameran ini, lebih ramai pengguna dapat meningkatkan kesedaran mereka tentang isu-isu pengguna dan mengamalkan tingkah laku pengguna yang bijak.

Ahad, 7 Julai 2013

MINGGU TANPA SKRIN (19 – 25 APRIL 2013)


19 April hingga 25 April ialah MINGGU TANPA SKRIN (sebelum ini dikenali sebagai Minggu Tidak Menonton Televisyen). Kempen secara tahunan yang telah dianjurkan semenjak 1995 ini, bertujuan untuk menggalakkan para ibu bapa dan anak-anak untuk menutup televisyen dan peralatan berskrin di rumah, dan seterusnya meluangkan masa tersebut dengan melakukan pelbagai perkara lain bersama-sama sebagai satu keluarga.

MENGAPA TANPA SKRIN?

Ini merupakan tahun kelima FOMCA mengadakan Minggu Tanpa Skrin. Media berskrin telah menghabiskan banyak masa keluarga, yang sepatutnya digunakan untuk melakukan aktiviti bersama. Tabiat ini juga merupakan sebab utama berlakunya masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Tabiat menggunakan media berskrin untuk tujuan rekreasi secara yang berlebih-lebihan telah menyebabkan wujudnya gaya hidup yang suka bersendirian dan tidak banyak melibatkan dalam aktiviti fizikal. Justeru, tabiat ini tidak baik dari segi mental mahupun fizikal.

MINGGU TANPA SKRIN bertujuan untuk mewujudkan kesedaran bahawa masa menggunakan media berskrin perlu dihadkan kepada tidak lebih daripada 2 jam sehari. Kanak-kanak dan golongan muda didapati telah menghabiskan masa selama antara 4 hingga 6 jam sehari untuk menonton televisyen, bermain permainan video, atau menggunakan komputer untuk tujuan rekreasi.

Menutup media berskrin akan memberi peluang kepada anda untuk berfikir, membaca, mencipta dan membuat sesuatu perkara yang baru. Ia membolehkan anda bermesra dengan keluarga anda dan menggalakkan diri anda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kekeluargaan.

The American Academy of Pediatrics menyarankan kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun tidak didedahkan dengan media berskrin, manakala kanak-kanak yang lebih tua pula tidak lebih daripada dua jam sehari.

Mengurangkan masa menggunakan media berskrin akan:
  • Memberi peluang kepada pembelajaran
  • Mengurangkan kesan iklan terhadap kanak-kanak
  • Memberi lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti kreatif dan permainan yang aktif.
HARI TANPA MEDIA SOSIAL
Kewujudan peranti seperti telefon pintar dan tablet, serta promosi agresif syarikat telekomunikasi tentang pakej internet, menyebabkan penggunaan media sosial, seperti Facebook, Youtube, dan Twitter semakin meluas.

Terdapat sesetengah orang yang mendakwa mereka sentiasa berada dalam talian selama 24 jam. Oleh itu, tidak hairanlah dengan keadaan sekumpulan orang, yang walaupun duduk semeja, tetapi mereka sibuk dengan telefon bimbit masing-masing. Ini terutamanya terjadi kepada golongan muda dan dewasa. Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding dengan berbual-bual secara bersemuka dengan kawan-kawan atau ahli keluarga.

Dengan aplikasi seperti Whatsapp, sesetengah orang menghabiskan terlalu banyak masa berbual menggunakan aplikasi tersebut, malah mudah terganggu dengan bunyi isyarat telefon. Mereka akan memeriksa telefon bimbit dari semasa ke semasa kerana mereka tidak mahu terlepas apa-apa mesej yang dihantar oleh kawan. Mereka begitu teruja dengan telefon bimbit dan internet. Mereka akan berasa tidak senang sekiranya tidak ada telefon bimbit bersama-sama mereka atau tidak dapat mengakses internet. Ini membuatkan kita terfikir adakah media sosial merupakan satu cara komunikasi yang baru atau satu lagi bentuk ketagihan?

Jadi, tibalah masa untuk kita tutupkan telefon pintar kita selama satu hari dan mula menjalankan aktiviti yang lebih interaktif dan aktif. Justeru, 25 April 2013 telah dijadikan sebagai ‘Hari Tanpa Media Sosial’ sempena dengan Minggu Tanpa Skrin.

Anda boleh menutup telefon pintar dan menggantikannya dengan telefon biasa. Ini dapat membebaskan diri anda daripada dunia media sosial, berada di dunia realiti sepanjang hari, membuat sesuatu yang bermanfaat kepada alam sekitar, atau berkumpul dengan kawan-kawan, bermain permainan secara berkumpulan, membolehkan diri anda berseimbang antara dunia media sosial dan dunia realiti.

Cara ini bukan sahaja dapat mengurangkan stres, tetapi juga dapat mengurangkan masalah sakit leher dan bahu yang disebabkan oleh penggunaan telefon pintar dengan menunduk kepala dalam tempoh yang panjang Berjoging atau mendaki bukit bersama-sama kawan-kawan adalah lebih menyeronokkan daripada anda sentiasa menundukkan kepala dan menaip mesej di telefon.

Semenjak kebelakangan ini, Amerika Syarikat dan Taiwan, satu aktiviti yang semakin popular, iaitu dikenali sebagai ‘Berhenti menggunakan telefon ketika makan’. Cara aktiviti ini diadakan ialah, ketika makan bersama-sama kawan-kawan, setiap orang dikehendaki meletakkan telefon bimbit mereka di tengah-tengah meja. Jika ada sesiapa yang tidak dapat menahan diri daripada menggunakan telefon, maka orang tersebut akan didenda dengan membayar harga makanan untuk semua orang. Jika anda benar-benar mementingkan kawan-kawan anda, maka anda bukan sahaja perlu mematuhi peraturan ini ketika makan, tetapi juga apabila berjumpa dengan kawan-kawan anda.

Aktiviti-aktiviti pilihan yang boleh dilakukan oleh anak-anak dan keluarga
  1. Mengadakan aktiviti bersama-sama keluarga di taman permainan.
  2. Belajar bermain gitar atau peralatan muzik yang lain.
  3. Menganjurkan aktiviti gotong-royong dengan keluarga atau ahli masyarakat.
  4. Aktiviti mencantumkan gambar.
  5. Pergi ke perpustakaan. Meminjam buku atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang terdapat di perpustakaan.
  6. Mendengar radio.
  7. Pergi ke zoo.
  8. Warnakan gambar atau mural.
  9. Ketahui tentang pusat komuniti kawasan atau aktiviti-aktiviti di taman anda.
  10. Pergi berenang.
  11. Rancang perkelahan atau barbeku.
  12. Perhatikan aktiviti burung.
  13. Bermain dengan haiwan peliharaan.
  14. Menulis surat kepada rakan atau saudara.
  15. Tanam bunga, sayur-sayuran atau tumbuhan herba.
  16. Membaca majalah atau suratkhabar.
  17. Bermain permainan bola keranjang, bola sepak atau bola jaring dalam kawasan kejiranan anda.
  18. Pergi berkhemah (walaupun di kawasan laman belakang rumah!)
  19. Mengemas almari dan pakaian anda. Dermakan barangan yang berlebihan kepada golongan miskin.
  20. Mulakan catatan diari / jurnal harian.
  21. Pergi ke muzium.
  22. Berjalan kaki sambil menikmati persekitaran. Kutip biji-bijian dan daun-daun. Buat kolaj dengan bahan yang dikutip dan tampal pada peti sejuk.
  23. Bermain kad.
  24. Keluarkan album foto keluarga anda. Kaji salasilah keluarga anda.
  25. Buat cenderamata untuk dijadikan hadiah.
  26. Bertanya ahli keluarga yang tua tentang kisah hidup zaman kanak-kanak mereka.
  27. Belajar beberapa teka-teki dan lawak jenaka.
  28. Pergi ke kedai buku yang berhampiran.
  29. Lihat langit malam dengan teropong; kenal pasti bintang yang berbeza. Perhatikan juga bulan.
  30. Pergi ke pasar raya yang berhampiran.
  31. Berjalan kaki ke tempat kerja atau sekolah.
  32. Berlatih untuk perlumbaan separa marathon.
  33. Pergi memancing
  34. Mulakan projek keluarga.
  35. Membuat roti, kek atau biskut bersama ibu.
  36. Berbasikal.
  37. Bermain catur bersama ahli keluarga.
  38. Pergi ke pasar malam.
  39. Pergi ke membeli sayur bersama ibu.
  40. Membuat kraf tangan dengan benda kitar semula.
  41. Mengambil foto bersama-sama ahli keluarga.
  42. Belajar memasak.
  43. Belajar untuk menyebut frasa yang mudah dalam beberapa jenis bahasa.
  44. Bermain congkak.
  45. Mengadakan pertandingan menyanyi di rumah.
  46. Pergi ke pusat membeli belah.
  47. Belajar bermain gelang hula.
  48. Mendaki bukit.
  49. Pergi ke pesta yang berdekatan.
  50. Membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru.
  51. Menjadi sukarelawan untuk organisasi komuniti atau kebajikan.
  52. Menubuhkan kumpulan senaman komuniti yang membuat aktiviti seperti berjalan, berlari atau berbasikal.
  53. Menjadi sukarelawan yang mengajar membaca, matematik dan kemahiran komputer di sekolah.
  54. Baca satu cerita kepada adik-adik anda.
  55. Mendapat ilham untuk mengarang buku yang baru.
  56. Menubuhkan pasukan bola jaring belia / kanak-kanak.
  57. Mengajar jiran anda tentang perisian komputer.
  58. Mengambil bahagian dalam pertandingan pengembara mencari harta karun.
  59. Melawat ke air terjun.
  60. Menyertai kelas tarian.
Tutupkan skrin anda dan mulakan kehidupan kekeluargaan!

Sabtu, 6 Julai 2013

40 Tahun













Pada tahun ini, FOMCA akan menyambut ulang tahun penubuhannya ke-40. FOMCA telah memilih “Memperkukuh Perlindungan dan Pengupayaan Pengguna” sebagai tema sambutan ulang tahun ke-40 ini.

Dalam tempoh 40 tahun, FOMCA telah menempuh pelbagai perjuangan dan cabaran, yang sebahagiannya telah mencapai kejayaan, dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan dan pengupayaan pengguna.

FOMCA berhasrat untuk mewujudkan masyarakat pengguna yang mampu membuat pilihan yang bermaklumat tentang barangan yang selamat dan lestari, dan dalam masa yang sama memastikan hak-hak pengguna dijamin dan dihormati.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 ini, FOMCA akan mengadakan pelbagai program dan kempen yang berlainan. Ikutilah aktiviti FOMCA di laman sesawang www.fomca.org.my

Khamis, 4 Julai 2013

FOMCA UMUMKAN ULANG TAHUN KE-40 DAN LANCARKAN APLIKASI TELEFON PINTAR


Petaling Jaya, 18 Disember 2012 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan sidang media mengumumkan tentang ulang tahun FOMCA yang ke-40 yang akan diadakan pada 10 Jun 2013 di Balai Besar, Alor Setar, Kedah, tempat penubuhan FOMCA pada 10 Jun 1973.

Bersempena dengan ulang tahun tersebut, FOMCA telah merangka beberapa aktiviti, antaranya majlis sambutan ulang tahun, pameran tentang FOMCA di sebuah pusat membeli belah, dua buah penerbitan tentang sejarah dan pencapaian FOMCA serta persidangan kepenggunaan.

Dalam usianya yang hampir menjangkau 40 tahun, FOMCA cuba untuk menilai kembali sejauh mana pencapaiannya dalam memperjuang kepentingan pengguna, dan dalam masa yang sama merancang hala tujunya pada masa hadapan. FOMCA juga akan menilai tentang tahap perlindungan kepenggunaan yang sedia ada di negara ini melalui persidangan yang akan diadakan pada tahun hadapan. Untuk tujuan itu, FOMCA akan menjadikan lapan hak pengguna dan Garis Panduan Perlindungan Pengguna Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai kerangka dan penanda aras dalam menilai status perlindungan pengguna di Malaysia.

Dalam bidang advokasi pula, FOMCA akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu pengguna, seperti harga makanan yang semakin meningkat, jaminan dan keselamatan makanan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, keperluan untuk standard, perkhidmatan kewangan, jenayah yang kian berleluasa, isu-isu berkaitan perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia dan perumahan.

Demikian juga bidang pendidikan pula, FOMCA akan terus memberi tumpuan kepada hak-hak pengguna, pendidikan kewangan untuk semua lapisan masyarakat, tenaga dan pemuliharaan air dan penggunaan yang berhemat. FOMCA akan menjalankan lebih daripada 450 program komuniti pada tahun 2013. Selain itu, FOMCA akan terus menerbitkan pelbagai penerbitan tentang pendidikan kepenggunaan, serta meningkatkan penggunaan laman sesawang dan media sosial untuk menyalurkan maklumat kepenggunaan.

Dalam majlis tersebut, FOMCA juga telah melancarkan aplikasi mudah alih telefon pintarnya, yang merupakan julung kali oleh sebuah pertubuhan pengguna di Malaysia. Usaha mewujudkan aplikasi ini bagi membolehkan FOMCA menjangkaui lebih ramai khalayak pengguna, khususnya generasi muda dalam isu kepenggunaan secara yang lebih mudah dan berkesan.

Terdapat lima elemen penting dalam aplikasi percuma ini, iaitu: Aduan, Berita, Kempen, Penerbitan dan Latar Belakang FOMCA. Kini pengguna boleh membuat aduan di hujung jari mereka melalui aplikasi ini. Mereka boleh mengambil gambar dan menghantar segera kepada FOMCA.

Sebarang berita mengenai isu pengguna atau pendirian FOMCA akan dikemas kini melalui aplikasi ini dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, sekiranya terdapat sebarang produk yang ditarik balik oleh mana-mana negara di seluruh dunia, maklumat ini akan dikemas kini dan dimaklumkan kepada pengguna melalui aplikasi ini.

Aplikasi ini boleh digunakan untuk semua telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android. Aplikasi bagi sistem operasi iOS (iPhone) pula dijangka siap pada Januari 2013.

Sidang media tersebut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA, Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA dan Puan Siti Rahayu Zakaria, Naib Presiden FOMCA. Turut hadir ialah ahli Majlis Tertinggi FOMCA.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Sabtu, 22 Jun 2013

Sejarah FOMCA

Salam 1 Malaysia.
Hari ini penulis hendak memberitahu mengenai sejarah FOMCA. Jom sama-sama kita mengetahui sejarah FOMCA.

Di Malaysia, persatuan pengguna telah ditubuhkan di peringkat negeri dahulu sebelum bergabung di bawah sebuah pertubuhan di peringkat nasional. Empat persatuan pengguna yang mula-mula sekali ditubuhkan ialah:
  1. Januari 1965  -   Persatuan Pengguna Selangor (SCA)
  2. November 1969  -  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  3. Februari 1971 -  Persatuan Pengguna Sarawak (CAS)
  4. Mac 1971 -  Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS) 
Pada bulan Aprl 1971, satu mesyuarat telah diadakan di Cameron Highland untuk membincangkan penubuhan sebuah persatuan gabungan. CAP telah diberi tugas untuk mengadakan mesyuarat kedua di Pulau Pinang pada bulan Jun 1971 untuk membuat perancangan akhir penubuhan, tetapi gagal.
Kemudian tiga lagi persatuan pengguna negeri telah ditubuhkan, iaitu:
  1. Julai 1971  -  Persatuan Pengguna Kedah (CAKE)
  2. Mac 1972 -  Persatuan Pengguna Perak (PCA)
  3. May 1972 -  Persatuan Pengguna Melaka (CAM)
Kemudian satu lagi perbincangan dibuat untuk menubuhkan sebuah gabungan. Semua pihak bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan yang longgar tanpa menghilangkan kuasa otonomi persatuan-persatuan pengguna negeri. Akhirnya lahirlah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (atau singkatannya FOMCA) pada 10 Jun 1973 di Alor Setar, Kedah.
Selepas penubuhan FOMCA, persatuan-persatuan pengguna negeri lain yang ditubuhkan ialah:
  1. Julai 1973  -   Persatuan Pengguna Johor (JCA)
  2. Ogos 1973 -   Persatuan Pengguna Johor (JCA)
  3. November 1973 -   Persatuan Pengguna Pahang (PAC)
  4. Jun 1976  -  Persatuan Pengguna Terengganu (2PTR)
  5. Ogos 1980  -   Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH) 
Dalam pada itu, FOMCA turut memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa. Semenjak tahun 1987, FOMCA telah dilantik sebanyak tiga kali menduduki Lembaga Pengarah Consumers International (CI), iaitu sebuah pertubuhan pengguna antarabangsa yang mengabungkan 225 buah pertubuhan pengguna dari 119 buah negara. Pada masa ini FOMCA menganggotai Lembaga Pengarah CI untuk tempoh sehingga tahun 2003.
Sehingga kini, seramai enam orang menjadi Presiden FOMCA, iaitu:
  1. 1973 - 1974 - Allahyarham Dato' Mohamed Sopiee Sheikh Ibrahim
  2. 1974 - 1981 - Encik Tara Singh Gill
  3. 1981 - 1988 - Enck Bishan Singh Bahadur
  4. 1988 - 1991 -  Encik Chua Kim Tee
  5. 1991 - 2004 -  Prof. Dato' Mohd Hamdan Hj. Adnan
  6. 2004 - Kini -  Datuk Marimuthu Nadason
*Diambil dari laman sesawang FOMCA.

Jumaat, 21 Jun 2013

Apa itu FOMCA?


FOMCA adalah singkatan daripada Federation of Malaysian Consumer Associations. FOMCA merupakan gabungan persatuan-persatuan pengguna negeri-negeri di Malaysia.FOMCA berusaha memperjuangkan hak-hak pengguna di Malaysia. Selain itu, FOMCA bekerja rapat dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam memberikan maklumat, pendidikan dan perlindungan pengguna.